Wayne Rooney. FOTO Agensi
AFP

WAYNE Rooney mengakui hampa apabila terpaksa menunggu sehingga Januari untuk beraksi bersama kelab Liga Kejuaraan, Derby.

Bekas kapten Manchester United dan England itu tidak dibenarkan membuat penampilan sulung bersama Rams sehingga Januari selepas menandatangani kontrak selama 18 bulan sejak meninggalkan kelab Major Liga Bolasepak Major (MLS), DC United.

Kunjungan Barnsley ke Pride Park pada 2 Januari bakal menjadi penampilan sulung Rooney dan katanya, dia bersedia untuk turun beraksi ketika ini.

“Amat mengecewakan apabila menjalani latihan sepanjang minggu dan tidak dibenarkan bermain,” kata pemain merangkap jurulatih berusia 34 tahun itu.

“Latihan sebelum hari perlawanan adalah hari yang teruk sebagai pemain dan mereka tidak banyak melakukan perkara lain selain berada bersama jurulatih kecergasan, dan ia langsung tidak menyeronokkan.

“Ia mengecewakan kerana saya sudah bersedia untuk bermain. Saya hanya perlu menambah kecergasan saya dan memperbaiki sedikit perkara (sejak meninggalkan Amerika) dan jika perlawanan itu esok, saya sudah bersedia.”

Derby akan mengharungi empat perlawanan sebelum Rooney dibenarkan bermain.

Dalam tempoh berkenaan, dia berharap skuad kendalian Phillip Cocu boleh merapatkan jurang lapan mata di antara mereka dan pasukan enam terbaik.

The Rams bergelut dengan prestasi musim lalu, apabila mereka mara ke final playoff Liga Kejuaraan dan ketika ini sudah mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Disember 2019 @ 8:22 AM