HAKIMI (tengah) diapit Diones (kiri) dan Sapwaturrahman selepas menerima pingat emas lompat kijang lelaki. — FOTO Aizuddin Saad
BERNAMA

HAKIMI Ismail menepati statusnya sebagai jaguh lompat kijang Asia Tenggara apabila merangkul pingat emas buat kali ketiga pada Sukan Sea Filipina di Stadium Olahraga New Clark City, Clark, hari ini.

Atlet berusia 28 tahun itu melakukan catatan terbaik peribadi musim ini apabila melakukan lompatan sejauh 16.68 meter ketika lompatan ketiga sekali gus mengulangi pencapaian emas di Sukan Sea Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017.

Pingat perak dimenangi atlet tuan rumah, Mark Harry Diones dengan 16.42m manakala peserta Indonesia, Sapwaturrahman gangsa dengan lompatan 16.21m.

Kejayaan meraih emas hatrik Sukan Sea menjadi detik paling manis buat Hakimi yang mendedikasikan kemenangan itu kepada isterinya yang akan melahirkan cahaya mata kedua awal bulan depan.

HAKIMI beraksi dalam acara lompat kijang di Stadium Olahraga New City Clark, Clark, hari ini. — FOTO Aizuddin Saad

Hakimi berkata isterinya, Sharifah Mastiara banyak mengorbankan masa untuk menjaga anak sulung, Muhammad Ayden Matiin, 2, susulan kesibukannya menjalani latihan selain menyertai pertandingan tempatan dan antarabangsa selama ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaan atlet negara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 10:41 PM