MOHAMMED (kanan) dan Awangku Rahman sumbang pingat perak di Manila. — FOTO Aizuddin Saad
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


DUA harapan atlet kickboxing negara untuk cuba mencipta kejutan gagal apabila sekadar meraih dua pingat perak pada aksi final Sukan Sea Filipina di Manila, hari ini.

Mohammed Mahmoud yang bertanding dalam kategori bawah 63.5kg low kick terpaksa akur apabila tewas 0-3 di tangan peserta tuan rumah, Jean Claude Saclag.

Skuad negara turut meraih perak bagi kategori bawah 57kg full contact menerusi Awangku Rahman Awang Marajaya.

Dia terpaksa akur apabila tewas kepada peserta Vietnam, Nguyen Xuan Phuong 0-3 dalam aksi final.

Jelas Mohammed, dia memohon maaf susulan kegagalannya dan mengakui peninju tuan rumah beraksi lebih baik daripadanya.

“Saya sudah cuba yang terbaik tapi lawan saya lebih berpengalaman. Ini kali pertama saya beraksi dalam kickboxing dan saya sebenarnya lahir daripada muaythai.

“Memang agak sukar namun saya bersyukur dapat mara hingga ke final.

“Jika dua tahun lagi di Vietnam, saya masih diberi peluang untuk mewakili Malaysia dalam sukan ini, saya percaya akan lebih bersedia dan mahu menebus kekalahan hari ini,” katanya.

Seorang lagi wakil negara Iffat Mat Ripen sekadar meraih gangsa bagi kategori bawah 60kg low kick.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Disember 2019 @ 9:41 PM