BENDERA Russia (kanan) dan Olimpik ketika Sukan Olimpik Musim Sejuk Sochi 2014. — FOTO AFP
AFP

AGENSI Anti Doping Dunia (Wada) menggantung Russia selama empat tahun daripada menyertai temasya sukan besar dunia termasuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Piala Dunia Qatar 2022 susulan kesalahan memanipulasi data doping.

Jawatankuasa eksekutif Wada yang bermesyuarat di Lausanne hari ini menjatuhkan hukuman penggantungan selama empat tahun terhadap Russia selepas mendapati Moscow memalsukan data makmal doping yang diserahkan kepada penyiasat awal tahun ini.

Russia bukan saja tidak dibenarkan beraksi di Olimpik selepas ini, malah pegawai kerajaan Russia turut tidak dibenarkan daripada menyertai sebarang kejohanan utama, manakala negara itu turut hilang hak untuk menganjur atau membida tuan rumah mana-mana kejohanan.

“Jawatankuasa eksekutif Wada sebulat suara meluluskan penggantungan agensi anti-doping Russia untuk tempoh empat tahun,” kata jurucakap Wada, James Fitzgerald.

Di bawah sekatan itu, atlet dari Russia masih dibenarkan untuk bersaing di Olimpik tahun depan dan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 dengan syarat dapat menunjukkan mereka bukan sebahagian daripada apa yang dipercayai Wada sistem doping yang ditaja oleh kerajaan.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) juga akan menetapkan bagaimana pemain Russia mengambil bahagian pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022.

Bagi Euro 2020 yang menyaksikan bandaraya Russia, Saint Petersburg akan mengendalikan empat perlawanan tidak terjejas kerana ia tidak ditakrifkan sebagai ‘kejohanan utama’ bagi tujuan anti doping.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 10:12 PM