SHARMENDRAN (kanan) sumbang pingat emas kumite bawah 75kg lelaki. — FOTO Osman Adnan
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


SKUAD karate negara melengkapkan hari terakhir pertandingan Sukan Sea Filipina 2019 dengan menyumbang dua pingat emas menerusi R Sharmendran dalam acara kumite bawah 75 kilogram lelaki dan acara kata berpasukan lelaki di Manila, hari ini.

Kejayaan cemerlang kem karate itu menyaksikan mereka menggondol empat pingat emas secara keseluruhan pada temasya Sukan Sea Filipina selepas kejayaan P Madhuri (kumite bawah 55kg wanita) dan S Prem Kumar (kumite bawah 55kg lelaki).

Dalam acara final kumite bawah 75kg, Sharmendran mudah menewaskan Songvut Muntaen dari Thailand 3-0.

Bagi acara kata berpasukan lelaki, Malaysia yang diwakili Thomson Hoe, Ivan Oh dan Emmanuel Leong mengalahkan Indonesia dengan 25.40 mata berbanding 23.98 pada aksi final. Vietnam dan Filipina meraih gangsa dalam acara itu.

Selain empat emas, skuad karate turut memenangi empat perak menerusi M Mathivani (bawah 61kg wanita), Arif Afifuddin Malik (bawah 67kg lelaki), Ooi San Hong (individu kata lelaki) dan kata berpasukan wanita.

Kejayaan itu menyaksikan mereka muncul juara keseluruhan pada temasya kali ini dengan empat emas dan empat perak diikuti Thailand (3-2-3) dan Vietnam (2-3-6).

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 6:16 PM