SEPAKAN percuma Neymar yang menghasilkan gol pertama PSG. FOTO Reuters
AFP

NEYMAR menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dan membantu satu lagi jaringan ketika Paris Saint-Germain bangkit menewaskan Montpellier 3-1, awal pagi tadi dan mengukuhkan cengkaman di puncak Ligue 1 dengan jurang lapan mata.

Montpellier yang kebal di tempat sendiri musim ini mendahului pada minit ke-41 di Stade de la Mosson apabila tandukan Daniel Congre terkena tangan pemain tengah, Leandro Paredes dan masuk ke gawang sendiri.

PSG gagal menang dalam tiga kunjungan terakhir di Montpellier dan terpaksa melakukan pertukaran awal pada babak pertama selepas Presnel Kimpembe dan Idrissa Gueye mengalami kecederaan.

Tetapi ketiadaan Pedro Mendes pada minit ke-72 akibat kad kuning selepas menjatuhkan Neymar memberi kelebihan kepada pelawat.

Bintang Brazil itu meledak sepakan percuma dari jarak 22 meter yang gagal diselamatkan penjaga gol, Geronimo Rulli bagi menyamakan kedudukan buat PSG sekali gus gol keenamnya musim ini.

Neymar kemudiannya menghantar bola kepada Kylian Mbappe dalam kawasan Montpellier dan bintang Perancis itu tangkas melepasi kawalan Arnaud Souquet sebelum merembat kencang untuk meletakkan pelawat di depan.

Neymar hampir menjaringkan satu lagi gol juga menerusi sepakan percuma namun terkena tiang sebelah kanan sebelum gabungan dua pemain termahal itu membolehkan Mauro Icardi menjaringkan gol ketiga dalam tempoh tujuh minit.

"Ia amat sukar pada babak pertama. Kami gagal mempamerkan karakter sebenar tetapi pada babak kedua reaksi kami lebih baik,” kata kapten PSG, Thiago Silva.

"Neymar dari satu tahap ke satu tahap kembali ke prestasi sebenar dan saya berharap dia sudah bersedia untuk menghadapi peringkat lebih getir musim ini terutamanya pada Mac dan April. Dia pasti akan membantu pasukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 10:18 AM