TZE Liang puas sumbang emas buat negara. FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my

OOI Tze Liang nyata terlalu unggul dalam pentas Sukan Sea apabila berjaya mempertahankan pingat emas acara 3 meter papan anjal individu lelaki semalam buat kali keempat berturut-turut sejak edisi 2013 di Myanmar.

Lebih menarik ia adalah emas ke-11 yang diraih penerjun berusia 26 tahun dari Pulau Pinang itu sepanjang beraksi di Sukan Sea.

Tze Liang mencatat 454.60 mata, manakala rakan senegara, Muhammad Syafiq Puteh pula meraih perak selepas memungut 402.50 mata.

Peserta Singapura, Mark Lee sekadar gangsa dengan 325.50 mata.

“Bagi saya saingan kali ini agak sederhana saja. Saya tidak buat kesilapan besar dan hanya kekalkan prestasi sepanjang terjunan,” katanya.

Tze Liang juga mengakui tidak pernah jemu untuk terus beraksi di Sukan Sea meskipun tidak pernah terlepas meraih pingat di setiap edisi yang disertainya sejak 2011.

“Selagi saya boleh terjun saya akan terus terjun. Sekarang saya sudah agak sibuk dengan pelajaran di universiti.

“Sukan Sea bagi saya adalah untuk memenuhi satu misi saja. Saya lebih fokus untuk cemerlang di saingan lebih besar serta Sukan Olimpik,” katanya.

Kelmarin Tze Liang turut memenangi emas menerusi acara 3 meter papan anjal seirama lelaki bersama pasangannya, Chew Yiwei.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 6:01 AM