Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


SYARIKAT barangan sukan terkemuka, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd sah menaja pasukan Melaka United (MU) bagi musim 2020 dan 2021.

Majlis menandatangani perjanjian antara syarikat terbabit dan Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) diadakan di Bandar Hilir, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Vach Pillutla mewakili syarikat berkenaan sementara Presiden MUSA, Damian Yeo Shen Li bagi persatuan terbabit.

Damian berkata, dengan termeterinya perjanjian itu menyaksikan Al-Ikhsan menjadi penaja rasmi jersi dan pakaian sukan skuad Hang Tuah untuk tempoh dua tahun bermula 2020.

Katanya, MUSA amat berbangga dengan kesudian syarikat terbabit menaja skuad berkenaan dengan nilai RM1 juta.

"MUSA menerima dengan tangan terbuka penajaan itu berikutan jenama pakaian berkualiti yang terkenal di negara ini dan antarabangsa dan penajaan membabitkan skuad utama, pasukan bawah 21, 19, 17, futsal serta wanita bagi tempoh terbabit," katanya.

Hadir sama pemain skuad Hijau Putih, jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan dan penyokong setia skuad terbabit.

RI ABU BAKAR

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:49 PM