ALBION Lewis Dunk dan Shane Duffy meraikan kemenangan selepas perlawanan. FOTO Reuters
Reuters

Arsenal tewas kepada Brighton & Hove Albion buat kali pertama di laman sendiri apabila jaringan Adam Webster dan Neal Maupay memberikan pelawat kemenangan 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Gunners yang memecat Unai Emery sebagai pengurus minggu lalu dan melantik bekas pemain Freddie Ljungberg sebagai pemangku pengurus kini berada di tangga ke-10 liga dengan 19 mata, dengan Brighton hanya ketinggalan satu mata dan tiga anak tangga di belakang mereka.

“Sudah tentu, ia mengecewakan tetapi kami perlu teruskan,” kata Ljungberg.

“Pemain kurang yakin, saya fikir anda boleh melihatnya.

“Kami berada dalam situasi sukar. Kami memulakan permainan dengan hambar dan tiada tenaga. Adalah tugas saya menjadikan mereka lebih agresif dan bermain dengan penuh tenaga.”

Brighton mempunyai peluang awal apabila pertahanan Arsenal Hector Bellerin menjatuhkan Aaron Connolly namun sepakan percuma Pascal Gross terkena benteng pertahanan Arsenal.

Pasukan pelawat terus mengasak dengan Maupay melakukan rembatan dari sudut sukar yang melepasi gawang yang dikawal penjaga gol Bernd Leno.

Tekanan diberikan akhirnya berhasil pada minit ke-36 apabila bek tengah Webster merembat bola yang gagal dikawal selepas sepakan sudut, melepasi Leno untuk memberikan pelawat gol pendahuluan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 8:37 AM