MUAZ dan Siti Safiyah bersama pingat perak. FOTO MSN
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


GELANGGANG boling di Pusat Beli-Belah Starmall EDSA-Shaw, Manila terus menghadirkan igauan buruk buat pemain negara apabila gagal menambah pingat emas dalam acara beregu campuran, hari ini.

Sebaliknya, kem negara hanya mampu memenangi pingat perak menerusi Ahmad Muaz Fishol dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman yang tumbang kepada pasangan Indonesia, Ryan Lalisang-Aldila Indryati.

Suatu ketika Malaysia mendahului selesa dengan 2,284 jatuhan pin selepas lima permainan.

Namun kegagalan mengekalkan fokus menyaksikan beregu Indonesia itu memintas pada permainan terakhir dengan catatan 2,698 jatuhan pin buat meninggalkan pemain negara dengan hanya 2,627.

AKSI Siti Safiyah dan Muaz dalam acara beregu campuran akhir. FOTO Team Malaysia.

“Biarpun ada sedikit peningkatan ketika itu namun pasangan Indonesia sudah mendahului kami selepas berjaya secara konsisten melakukan strike.

“Diharapkan kami dapat melakukan yang lebih baik pada saingan berpasukan lelaki dan wanita esok,” kata Muaz.

Bagi pingat gangsa pula, ia menjadi milik satu lagi pasangan Indonesia, Hardy Rachmadian-Sharon Limansantoso dengan 2,557 jatuhan pin.

Selepas enam acara, Indonesia mendahului carta keseluruhan apabila memenangi tiga emas satu perak dan satu gangsa diikuti Malaysia dan Singapura yang masing-masing mengutip satu emas, satu perak dan satu gangsa.

Emas negara dari kem boling setakat ini disumbang oleh Timmy Tan dalam acara perseorangan lelaki, Selasa lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 9:15 PM