POCHETTINO tak serik bekerja di Eropah. - FOTO Reuters
Reuters

BEKAS jurulatih Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino sedia kembali ke Eropah dalam masa terdekat dengan beberapa projek menarik menunggunya.

Pengendali berusia 47 tahun dari Argentina yang membawa Spurs ke final Liga Juara-Juara musim lalu, dipecat selepas beberapa keputusan mengecewakan dalam semua kejohanan musim ini dan digantikan Jose Mourinho yang meraih tiga kemenangan.

Media British mengaitkan Pochettino dengan pencabar utara London, Arsenal selain Manchester United, Real Madrid dan Bayern Munich.

"Terdapat banyak kelab dan projek menarik untuk saya ceburi,” kata Pochettino kepada Fox Sports di Argentina.

"Pada usia ini, saya tak perlu banyak masa untuk pulih. Saya terbuka untuk mana-mana projek tetapi buat masa ini perkata paling penting ialah merehatkan minda selepas musim yang hebat bersama Tottenham.

"Sasaran saya ialah membina kembali diri sendiri dan mendapatkan kembali motivasi,” katanya sambil turut tidak menolak kemungkinan bekerja di tanah air sendiri.

"Menjadi hasrat saya kembali ke bidang pengurusan di Eropah. Sukar bagi saya membayangkan projek di Argentina tetapi demi kepentingan keluarga, saya tidak menolak bekerja di sini,” katanya.

"Sekarang saya perlu rehat dan tenang beberapa hari dan tengok apa berlaku. Saya tiada banyak masa menilai apa yang berlaku dan keputusan terbaik ialah kembali ke Argentina dan rehat 10 hari.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 12:50 AM