AKSI Syafiqa dalam acara boling padang, semalam. - FOTO Aizuddin Saad
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


KEADAAN permukaan padang yang dilabel sebagai teruk tidak menjadi penghalang untuk atlet boling padang negara menyapu tiga emas serentak.

Berlangsung di Clark City, gandingan Afiqah Dayana Budiman, Nur Ain Nabilah Tarmizi, Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman dan Siti Zalina Ahmad muncul pemenang pertama acara fours wanita selepas menewaskan Filipina 17-6.

Beberapa saat kemudian gandingan triples lelaki, Izzat Shameer Dzulkeple, Mohamad Fairus Abd Jabal dan Mohammad Syamil Syazwan Ramli mengesahkan pingat emas selepas menewaskan Filipina 14-8.

SYAMIL (kiri), Fairus (tengah) dan Izzat meraih emas acara triples lelaki.

Acara pairs wanita, Nurul Alyani Jamil dan Emma Firyana Jamil melengkapkan hari bergaya Malaysia apabila menyambar emas ketiga selepas menewaskan Brunei 21-14.

Bagi Siti Zalina yang sudah mewakili negara sejak 21 tahun lalu serta beraksi di Sukan Sea keenamnya kali ini, dia tidak pernah melihat permukaan padang seteruk itu.

"Saya harus berterima kasih kepada jurulatih yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kami. Jurulatih beritahu walau apapun keadaan padang, kami diminta untuk bersikap positif dan menjadikan sesi latihan sebelum ini sebagai bekalan pada aksi final.

"Walaupun saya berstatus senior, saya sendiri agak bergelut dan tercungap-cungap dengan permukaan padang seperti ini. Apatah lagi atlet baru yang lain. Untuk saya tidak pernah terfikir bersara. "Selagi khidmat saya diperlukan, selagi itu saya akan terus bersama skuad kebangsaan," katanya.

Mohamad Fairus juga bersetuju dengan pandangan Siti Zalina.

"Kami sudah pusing satu dunia tetapi tidak pernah nampak padang seteruk ini. Tapi kami tetap terus mencuba dan akhirnya meraih kemenangan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 12:36 AM