Firdaus Hashim melaporkan dari Manila
firdaushashim@hmetro.com.my


KEM badminton negara percaya gandingan beregu lelaki iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin memiliki peluang cerah untuk meraih pingat emas pada temasya Sukan Sea 2019 Filipina kali ini.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, sasaran satu emas yang diletakkan badan induk itu terarah kepada dua pasangan itu yang kini berada pada prestasi mereka.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan kejutan boleh dicipta oleh pemain lain terutama beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.

“Kalau kita tengok atas kertas, kita meletakkan sandaran kepada beregu lelaki (untuk menang emas).

Namun, beregu campuran menerusi Soon Huat-Shevon juga ada peluang.“Zii Jia juga ada peluang.

Jadi bagi kita mereka semua sedar setiap orang ada peluang dan sedar dengan tanggungjawab masing-masing.

Choon Hann yakin beregu lelaki mampu raih pingat emas. FOTO NSTP

“Pemain perlu sentiasa memberikan sokongan antara satu sama lain. Bukan kita mahu kata hanya beregu lelaki yang ada peluang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA), Manila, hari ini.

Acara badminton akan berlangsung di Kompleks Sukan Muntinlupa bermula Ahad ini sehingga 9 Disember.

Saingan akan bermula dengan acara berpasukan lelaki bertemu tuan rumah, Filipina di pusingan awal dan jika menang, Myanmar atau Singapura menanti di peringkat separuh akhir.

Bagi saingan berpasukan wanita pula, skuad negara dijangka tidak berdepan masalah untuk mengatasi Kemboja dan jika menang akan bertemu juara bertahan, Thailand.

Di Kuala Lumpur dua tahun lalu, skuad badminton keseluruhannya meraih satu emas, lima perak dan dua gangsa.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 5:13 PM