SAAD Ichalelene.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


JATUH bangun bola sepak akar umbi negara kini terletak sepenuhnya di tangan bekas jurulatih remaja Paris St Germain (PSG), Saad Ichalelene apabila dilantik Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) berkuatkuasa 1 Disember ini.

Pemilihan Saad secara rasmi diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu NFDP hari ini, dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin serta wakil pengurusan tertinggi NFDP termasuk Kementerian Pendidikan dan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Menurut Syed Saddiq, Saad,32, bukan asing dalam lanskap NFDP apabila berkhidmat sebagai Ketua Pencarian Bakat dan Metadologi Kejurulatihan bermula 2016 hingga 2018 sebelum dilantik Pengarah Teknikal NFDP (pembangunan negeri) tahun ini.

Katanya, warga Perancis berketurunan Algeria itu juga pernah menjadi jurulatih di Akademi Bola Sepak Paris Saint Germain (PSG) dari 2012 hingga 2016 selepas beraksi dengan beberapa kelab Eropah seperti PSG, Nimes Olympique dan USM Alger serta pernah mewakili skuad kebangsaan Algeria pada 2005 dan 2006.

“Kita ada tiga ke empat nama calon akhir dan Jawatankuasa Pemandu memutuskan Saad calon terbaik. Dia dipilih kerana menjadi tulang belakang yang merancang program latihan NFDP di pelbagai peringkat umur sebelum ini dan mahir dengan strukturnya.

“Dia juga berkerja dengan baik bersama Lim Teong Kim sebelum ini dalam memastikan legasi baik akan diteruskan selain mempunyai hubungan baik dengan semua pemegang taruh termasuk FAM, MSN, ISN dan barisan kejurulatihan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, hari ini.

Difahamkan Saad adalah watak penting menanam corak permainan moden dalam kalangan pelatih NFDP serta menerapkan kaedah kejurulatihan dan corak permainan dari Perancis ke semua peringkat Akademi Tunas (AT), Pusat Latihan Daerah (PLD) dan Sekolah Sukan Negeri (SSN).

Sebelum ini, bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich Lim Teong Kim adalah Pengarah Teknikal NFDP bermula 2013 sebelum diturunkan pangkat sebagai Pengarah AMD pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 November 2019 @ 9:21 PM