SYED Saddiq buat laporan polis.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengulangi penegasan beliau bahawa video tular mendakwa penyokong Indonesia dipukul adalah berita palsu dan fitnah yang amat teruk.

Kenyataan itu disiarkan menerusi video dimuat naik di Instagram beliau hari ini.

"Kepada rakan-rakan di Indonesia, tolonglah jangan percaya 'hoax', berita palsu, fitnah yang mengatakan ada penyokong Indonesia yang dipukul dan ada penusukan dikatakan dilakukan oleh penyokong Malaysia.

"Saya sendiri sudah membuat laporan polis. Saya juga sudah menghubungi polis Malaysia yang sudahpun berhubung dengan polis Indonesia bahawa video itu adalah 'hoax', tipu dan fitnah tidak betul," katanya.

Sebelum ini seorang pengguna Twitter memuat naik satu video berdurasi 44 saat yang menunjukkan beberapa lelaki dibelasah. Dia mendakwa beberapa lelaki warga Indonesia dibelasah ketika perlawanan antara Malaysia dan Indonesia, merujuk kepada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 Selasa lalu.

Menurut Syed Saddiq, video berkenaan tiada kena mengena dengan perlawanan antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Katanya, pihak Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia juga sudah mengesahkan video berkenaan adalah penipuan.

"Jangan kerana 'hoax' hubungan antara kedua negara ini jadi keruh. Kita merupakan rakan serumpun, jangan memecah-belahkan rakyat Malaysia dan Indonesia kerana penipuan yang begitu teruk ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 9:37 PM