SUAR dibaling ke arah penyokong Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak bagi mengetatkan lagi kawalan pada perlawanan kontroversi bagi memastikan barangan terlarang tidak terlepas masuk seperti terjadi ketika Malaysia menentang Indonesia, Selasa lalu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, sekretariat badan induk itu turut mengadakan perbincangan bersama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi membincangkan keseluruhan kerugian pada malam terbabit yang dianggarkan kira-kira RM11,000.

Katanya, hasil daripada laporan berkaitan kekecohan itu akan menentukan keputusan sama ada untuk mengambil tindakan lanjut termasuk membuat aduan kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Perkara penting adalah melihat kepada beberapa barangan seperti suar terlepas masuk ke dalam stadium, sekali gus perlu mengadakan perbincangan dan siasatan untuk mengetat lagi kawalan.

“Perkara terbabit akan diserahkan kepada sekretariat untuk merangka standard operasi prosedur (SOP) bagi menangani masalah, manakala berkaitan kerugian, kami akan berbincang dengan PSM,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Indonesia, Selasa lalu dicemari insiden kekecohan di dalam dan luar Stadium Nasional Bukit Jalil.

Malah, ketika Malaysia mendahului 1-0 hasil jaringan Safawi Rasid, terdapat beberapa penyokong melempar suar hingga berlaku sedikit kekecohan.

Situasi terbabit turut berlanjutan di luar stadium sebaik tamat perlawanan hingga memaksa Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal keadaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 7:41 PM