ZOLKPLES Embong.
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@hmetro.com.my


BEKAS Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong mempertikaikan sasaran 70 pingat emas buat kontinjen negara di Sukan Sea 2019 di Filipina yang dikatakan terbaik berbanding edisi di Korat, Thailand.

Menurutnya, sasaran pingat tidak boleh dibuat perbandingan seperti itu apatah lagi Malaysia menghantar atlet paling ramai iaitu 773 orang.

"Sasaran pingat tidak boleh buat perbandingan begitu. Terbaik di luar Kuala Lumpur (Sukan Sea) tak ada maknanya. Sepatutnya perbaiki peratusan pencapaian pingat di Korat edisi 2007. Di Korat hanya 475 acara dipertandingkan tapi di Manila 531 acara dan 68 pingat emas dimenangi adalah 14.31 peratus dari jumlah keseluruhan pingat.

"Jika menang 70 pingat emas daripada 531 acara, tidak sampai 14 peratus atau 13.18 peratus saja. Kontinjen negara mesti menang lebih 76 emas untuk pencapaian terbaik Sukan Sea di luar Kuala Lumpur. Jika tidak 70 pingat emas itu bagi saya tiada apa hendak dibanggakan," katanya dihubungi Arena Metro, hari ini.

Kelmarin Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan kontinjen negara menyasarkan 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa di temasya dwi tahunan itu. Jika dicapai, katanya ia akan mengatasi pencapaian terbaik Malaysia di luar Kuala Lumpur iaitu di Sukan Sea Korat, 2007 dengan 68 pingat emas.

Sementara itu, Zolkples turut mempersoal kelewatan pengumuman sasaran pingat kontinjen negara iaitu kurang 10 hari daripada kejohanan sebenar.

"Kenapa lambat sangat (umum sasaran pingat)? Takut atau tidak yakin kemampuan kontinjen kita? Sedangkan saya dulu umum sasaran sebulan sebelum Sukan Sea Myanmar 2013, dihentam dalam akhbar oleh Datuk Wira Mazlan Ahmad (bekas Ketua Pengarah MSN).

“Kenapa dia diam sekarang. Sedangkan dia duduk sebagai Ahli Lembaga Pengurus MSN, patutnya beri nasihat," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menggesa Persekutuan Sukan Asia Tenggara menetapkan acara wajib Sukan Sea bagi mengelak manipulasi tuan rumah dengan menawarkan acara memihak mereka bagi membolot pingat.

"Tiada semangat Asean dan Persekutuan Sukan Asia Tenggara tidak boleh kawal apabila tuan rumah menawarkan pelbagai acara baharu dan pelik. Saya pernah nyatakan dulu, acara Sukan Sea macam sarkas apabila banyak acara misalnya dalam sukan terjun dan basikal trek pada Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

"Ini tidak bagus, bagi saya acara mesti konsisten dengan Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik. Kita bentuk atlet untuk apa jika Sukan Sea seterusnya acara ini tidak dipertandingkan. Sukan baharu seperti tarian arnis, hoki dalam air, sambo dan kurash ini bagi saya mengarut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 6:11 PM