REICHELT (kiri) beraksi di Liga Thailand musim depan.
Nazri Abu Bakar
sukanteam@nstp.com.my


SKUAD Liga Super Melaka United (MU) tidak terburu-buru mencari pengganti penjaring terbanyaknya musim lalu, Patrick Reichelt yang sah dilepaskan menyertai Liga Thailand musim depan.

Jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan berkata, selain beberapa nama dalam skuad utama di negara Asia dia juga akan melihat kemampuan pemain yang hampir sama dengan Patrick dalam kalangan pemain tempatan.

Justeru, tidak mustahil terdapat pemain setandingnya yang beraksi di Liga Malaysia musim ini bakal mengisi tempat ditinggalkan penyerang kelahiran Filipina berkenaan.

“Apapun, kami mengakui merasai kehilangan sentuhannya namun dalam masa sama memberi kebebasan untuk dia menyertai pasukan di liga berkenaan.

“Sehubungan itu, kami giat meneliti beberapa pemain tempatan berkaliber menyarung jersi Hang Tuah mengikut bajet ditetapkan pengurusan. Namun dalam masa sama kami tidak menolak kemungkinan penyertaan import baharu selepas Jang Suk Won (Korea Selatan) sudah mengisi salah satu kouta Asia,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan, Selangor dan Pahang itu berkata, setakat ini proses penyenaraian pemain giat disusun dengan sekurang -kurangnya 15 sudah mengesahkan kontrak baharu.

Beliau berkata, beberapa pemain baharu dijangka akan diumumkan oleh pihak pengurusan termasuk dalam kalangan pemain tempatan sedikt masa lagi.

Menurutnya, selepas kesemua pemain menandatangani kontrak berkenaan, skuad Hijau Putih dijangka akan memulakan sesi latihan pada pertengahan Disember depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 5:59 PM