Diego Maradona ambil keputusan kekal di Gimnasia. FOTO Agensi
Reuters

DIEGO Maradona mengambil keputusan untuk kekal sebagai jurulatih kelab Argentina, Gimnasia y Esgrima, dua hari selepas membuat kejutan mengumumkan meninggalkan jawatannya di kelab bergelut di Divisyen Satu itu.

“Dia akan menyambung tugas di Gimnasia,” kata ejen Maradona, Christian Bragarnik kepada stesen radio Argentina.

Peguamnya Matias Morla memberitahu pada sidang media bekas pemenang Piala Dunia mengubah keputusannya selepas calon presiden kelab itu bersetuju mengetepikan pandangan mereka pada pemilihan Sabtu.

Maradona mengambil alih tugas pada September dengan syarat Gabriel Pellegrino kekal sebagai presiden kelab dan keputusan Pellegrino untuk tidak meneruskan tugas dikatakan mempengaruhi peletakan jawatan mengejut Maradona.

Pengumuman itu mendapat maklum balas pelbagai daripada penyokong, ramai di antara mereka tampil ke kelab berkenaan untuk mendesak Maradona terus kekal.

Masih tidak jelas sama ada Pellegrino akan dicalonkan bagi jawatan itu pada pemilihan akan datang.

Maradona, yang memenangi Piala Dunia pada 1986 dan dikenali antara legenda bola sepak dunia, mengambil alih tugas di kelab berpangkalan di La Plata, luar dari kota Buenos Aires, dilantik untuk mengubah nasib kelab itu daripada tersingkir persaingan liga.

Dia tewas pada tiga perlawanan pertama selepas mengambil alih tugas. Walaupun menang tiga daripada lima perlawanan sejak itu, pasukan itu masih berada dalam kelompok tiga terbawah dalam liga dan berdepan bahaya untuk terus terjunam di dasar liga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 8:48 AM