NATASHA (kanan) dan Adrian cemerlang di Palembang. — FOTO MTBC
Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@hmetro.com.my


NATASHA Roslan dan Adrian Ang berjaya menempatkan diri mereka dalam kelompok 24 pemain terbaik untuk meneruskan cabaran pada Piala Dunia Boling di Palembang, Indonesia hari ini.

Natasha menampilkan aksi cemerlang sepanjang empat hari pusingan kelayakan apabila mengungguli saingan kategori wanita dengan 5,016 jatuhan pin selepas 24 game.

Dia bersaing sengit dengan jagoan Amerika Syarikat, Kelly Kulick yang mengumpul 4,958 jatuhan pin diikuti Aumi Guerra dari Republik Dominica dengan 4,896 jatuhan pin.

“Saya gembira dengan persembahan setakat ini,” kata Natasha ketika dihubungi.

“Bukan senang hendak kekal konsisten setiap kali bermain tapi saya tidak boleh terlalu gembira kerana masih ada 16 game lagi dan apa saja boleh terjadi.

“Masih terlalu awal untuk meraikannya. Apa pun saya akan cuba yang terbaik hingga hari terakhir.”

Sementara Adrian menampilkan kebangkitan untuk kekal dalam kelompok 24 terbaik apabila menduduki tangga ke-16 dengan 4,865 jatuhan pin.

Kedua-dua mereka akan beraksi dalam saingan 24 pemain terbaik esok untuk menempah tiket ke kelompok lapan terbaik, sebelum melangkah ke separuh akhir dan akhir.

Pencapaian terbaik Malaysia pada Piala Dunia adalah menerusi Syafiq Ridhwan Abdul Malek yang menjuarai kejohanan itu pada 2012 di Wroclaw, Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 9:09 PM