MEGAT (kiri) bersalaman dengan atlet negara ke Sukan Sea. — FOTO Bernama
BERNAMA

SELEPAS mengambil kira pencapaian terkini atlet kebangsaan dan negara lain, sasaran 70 pingat emas pada Sukan Sea 2019 di Filipina adalah realistik.

Chef de Mission Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, sasaran itu ditetapkan selepas proses penelitian lengkap dengan mengambil kira penyertaan kali pertama 396 atlet yang akan beraksi pada temasya itu.

“Betul, sasaran kali ini hanya tambah dua pingat emas berbanding temasya sama di Korat pada 2007 walaupun ada peningkatan dari segi penyertaan atlet. Namun, kami kena ambil kira ramai atlet yang kali pertama beraksi di temasya antarabangsa.

“Kami tiada rekod pencapaian lalu mereka. Saya perlu akui kalau kami lihat dari segi peluang mungkin akan dapat lebih pingat emas tapi saya tidak berani kerana kebanyakan atlet dan sukan baharu dipertandingkan di Filipina. Kami pun tidak tahu prestasi atlet lawan macam mana,” katanya selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Sea 2019.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan sasaran 70 pingat emas, 51 perak dan 105 gangsa buat kontinjen negara yang diwakili 773 atlet dalam 52 daripada 56 acara yang dipertandingkan.

Sasaran 70 pingat emas itu dijangka meletakkan kontinjen negara dalam kelompok empat negara terbaik daripada 11 negara Asia Tenggara yang bertanding.

Syed Saddiq menyatakan sukan olahraga, gimrama, memanah dan boling padang dijangka menjadi penyumbang utama kepada kutipan pingat emas kontinjen negara.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 8:51 PM