RAFIQ (tengah) menerima Jalur Gemilang daripada ketua kontinjen negara Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Bangi, hari ini. — FOTO Bernama
BERNAMA

PEMILIHAN sebagai pembawa Jalur Gemilang pada Sukan Sea ke-30 di Filipina hujung bulan ini membakar semangat pemain boling elit negara Rafiq Ismail untuk melakar keputusan positif pada temasya dwitahunan itu.

Juara perseorangan lelaki Kejohanan Dunia 2018 itu mendedahkan, dia gembira dan teruja dipilih membawa bendera negara dalam kalangan 773 atlet yang menyertai Sukan Sea kali ini.

“Saya bangga membawa bendera Malaysia pada Sukan Sea dan menjadikan ia sebagai satu motivasi untuk saya lebih fokus terhadap persembahan saya di Manila,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bendera sempena perhimpunan akhir kontinjen negara ke Sukan Sea 2019 di Bangi, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan turut dihadiri Timbalannya, Steven Sim.

Rafiq menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu emas daripada empat acara yang disertainya di Manila.

Anak jati Kuala Lumpur itu akan mengambil bahagian dalam acara perseorangan, beregu, beregu campuran serta acara berpasukan.

“Saya menyasarkan emas dalam acara berpasukan, tapi kalau dapat (emas) dalam acara lain, ia satu bonus buat saya. Saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri, kerana saya mahu kekal fokus pada saingan kali ini,” jelasnya.

Rafiq meraih tiga emas dan satu perak pada edisi 2015 di Singapura dan dua emas serta satu perak di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 8:16 PM