ANAK buah Cheng Hoe menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman sendiri. — FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim & Syazwan Msar
sukan@hmetro.com.my


JURULATIH Tan Cheng Hoe memuji komitmen anak buahnya apabila mereka mengerah seluruh keringat untuk memastikan Harimau Malaya meraih tiga mata dengan membenam Indonesia 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Kemenangan kedua berturut-turut dalam kempen Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu membolehkan skuad kendaliannya mengumpul sembilan mata sekali gus memintas Thailand dan Emiriah Arab Bersatu untuk menghuni tangga kedua di belakang Vietnam seri 0-0 dengan Gajah Perang di Hanoi.

Jelas Cheng Hoe, walaupun skuad Garuda tampil berbeza dengan barisan pemain yang mantap, pasukan kebangsaan sebaliknya memperagakan mentaliti hebat untuk mencipta kemenangan.

“Sungguh menakjubkan dan bukan senang nak menentang Indonesia yang menggunakan ramai pemain baharu dalam pasukan.

“Saya lihat mentaliti pemain cukup tinggi apabila kami hilang bola pemain cepat bangkit untuk mengejar dan ia satu sikap dan komitmen yang baik daripada mereka,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.


CHENG Hoe (kanan) bersama Yeyen. — FOTO Bernama

Pada aksi kelima kedua-dua pasukan, Malaysia memastikan kemenangan menerusi dua gol Safawi Rasid dengan kaki kirinya.

Gol pertama dihasil melalui sepakan percuma pada minit ke-30 disusuli rembatan kencang pada minit ke-73 buat mengecewakan pelawat yang terus gagal melakar sebarang kemenangan sepanjang kempen ini.

Sementara itu, pengendali Indonesia, Yeyen Tumena menyalahkan anak didiknya yang melakukan kesilapan mudah hingga memberi peluang buat tuan rumah menggegar jaring.

“Dua gol Malaysia adalah hadiah daripada pemain saya. Apa pun saya angkat topi (memberi penghormatan kepada pemainnya) kerana tidak pernah putus asa dalam aksi ini,” kata Yeyen, pengganti Simon McMenemy yang dipecat sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 11:59 PM