SAFAWI meraikan jaringan pertama perlawanan ketika kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia 2023 antara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Firdaus Hashim & Syazwan Msar
sukan@hmetro.com.my


JARINGAN cantik menerusi sepakan percuma Safawi Rasid membantu Malaysia mendahului Indonesia 1-0 selepas berakhir separuh masa pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 itu jelas seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melancar serangan.

Kubu Malaysia hampir dibolosi pada minit ke-22 namun sepakan penyerang skuad Sang Garuda, Greg Nwokolo berjaya dihalang pertahanan Shahrul Saad sekali gus memberi kelegaan kepada anak buah Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe terpaksa membuat pertukaran pemain pada minit ke-23 apabila penjaga gol Khairulazhan Khalid mengalami kecederaan dan digantikan Farizal Marlias.

Stadium yang dipenuhi lebih 80,000 penonton bergegar apabila Safawi berjaya menyumbat gol pertama Malaysia pada minit ke-30 untuk mendahului 1-0.

Sepakan kaki kiri Safawi dari penjuru kanan kotak penalti Indonesia gagal diselamatkan penjaga gol Muhammad Ridho.

Namun gol itu mencetus sedikit kekecohan apabila berlaku perbalahan antara penyokong Malaysia dan Indonesia hingga memaksa pasukan keselamatan meleraikan keadaan.

Malah turut kelihatan suar dibakar dan objek dibaling dalam kalangan penonton namun perlawanan tetap diteruskan tanpa sebarang masalah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 9:47 PM