LUIS Enrique (kiri) mengendali pasukan ketika persahabatan antarabangsa menentang Bosnia di Las Palmas tahun lalu. — FOTO AFP
Reuters

LUIS Enrique dilantik semula sebagai jurulatih Sepanyol sesudah meletak jawatan Jun lalu ketika anak perempuannya bertarung dengan penyakit kanser, menurut presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol, Luis Rubiales hari ini.

Rubiales berkata, Robert Moreno, bekas penolong jurulatih yang mengemudi Sepanyol bagi kempen kelayakan Euro 2020 selepas Luis Enrique meninggalkan pasukan, mahu melepaskan jawatannya jadi beliau boleh kembali.

Anak perempuan Luis Enrique, Xana meninggal dunia September lalu.

“Hari ini kami boleh mengesahkan Luis Enrique kembali memegang peranannya sebagai jurulatih,” Rubiales memberitahu satu sidang akhbar di Madrid.

MORENO ketika kali terakhir mengendalikan pasukan La Roja menentang Romania di Madrid, awal pagi semalam. — FOTO EPA

“Setiap orang tahu jika Luis Enrique mahu kembali pintu sentiasa terbuka buatnya bersama pasukan kebangsaan.”

Moreno, yang mengemudi pasukan menang tujuh perlawanan dan seri dua kali ketika Sepanyol melayakkan diri dengan selesa ke pusingan akhir pada musim panas tahun depan, pernah berkata ketika dilantik beliau akan meletakkan jawatan jika Luis Enrique mahu kembali.

Moreno tidak bercakap kepada media selepas kemenangan 5-0 pasukannya ke atas Romania awal pagi semalam dan ada laporan menyebut beliau bertelagah dengan Luis Enrique dan tidak akan kembali sebagai penolongnya.

“Keputusan Luis Enrique mengenai staf, selain keputusan Robert untuk tidak bersama pasukan apabila beliau mengetahui Luis Enrique mahu kembali adalah perkara peribadi. Anda perlu tanya mereka,” kata Rubiales.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 9:45 PM