MFL adakan kerjasama dengan La Liga. FOTO facebook MFL
BERNAMA

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan La Liga Sepanyol untuk membangunkan program pendidikan dan memupuk semangat profesional dalam industri bola sepak tempatan.

MFL dan La Liga Business School akan membangunkan pengajian berkaitan sukan untuk membantu golongan profesional seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan kelab Liga Malaysia termasuk semua pihak yang terbabit dalam industri bola sepak bermula awal tahun depan dengan kursus pemasaran sukan (27 hingga 30 Mac 2020).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, kerjasama itu meliputi setiap aspek bola sepak di negara ini bukan hanya tumpuan kepada aspek teknikal.

“Matlamat kerjasama ini untuk memberi asas ilmu praktikal dan teori mereka serta rangkaian hubungan dan menyediakan medium untuk keseluruhan industri bola sepak tempatan untuk memperoleh pengetahuan.

“Ini satu pencapaian yang mana Liga Malaysia memainkan peranan penting dan saya percaya kerjasama ini akan memanfaatkan MFL dan Liga Malaysia khususnya dalam mendidik pegawai pengurusan bola sepak untuk mengendalikan lebih banyak pasukan profesional dan berdaya saing,” katanya selepas majlis menandatangani MoU itu di Wisma FAM, Petaling Jaya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 9:17 PM