Firdaus Hashim & Syazwan Msar
sukan@hmetro.com.my


BIARPUN hanya aksi peringkat kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 membabitkan aksi antara Malaysia dan Indonesia, suasana di dalam Stadium Nasional, Bukit Jalil cukup meriah umpama perlawanan akhir.

Kehangatan perlawanan jiran tetangga Nusantara ini sememangnya menjadi tumpuan lebih-lebih lagi apabila semua 85,000 tiket habis dijual Ahad lalu.

Sebaik pintu stadium dibuka pada jam 4 petang, penyokong kedua-dua pasukan mula memasuki dan memenuhi segenap tempat duduk dengan bantuan kawalan polis.

Suasana dalam stadium makin meriah apabila kumpulan gendang pelawat memalukan paluan gendang sambil menyanyikan lagu semangat sekali gus ‘memanaskan telinga’ penyokong tuan rumah.

Kumpulan penyokong tegar Harimau Malaya, Ultras Malaya yang mula masuk ke stadium pada jam 6.30 petang akhirnya membalas sorakan dengan paluan gendang dan kibaran bendera yang bergema ke segenap penjuru stadium.


PENYOKONG memberi semangat kepada pasukan Malaysia pada perlawanan kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dan Piala Asia diantara Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin

Bagaimanapun, sedikit ketegangan berlaku sejam sebelum sepak mula antara kedua-dua penyokong namun berjaya ditenangkan pihak berkuasa.

Perang kain rentang turut menambah rencah yang digantung oleh penyokong kedua-dua pasukan sebagai tanda sokongan kepada pasukan masing-masing.

Beberapa kain rentang dengan kata-kata semangat turut dipaparkan antaranya ‘Demi Harimau Malaya’ dan ‘Beraksi Demi Kebanggaan’.

Manakala bagi skuad Garuda, penyokong mereka menaikkan kata-kata antaranya ‘Forza Indonesia’, ‘Indonesia Mantap’ dan ‘Garuda Terbang Tinggi’.

Namun kemuncak yang dinantikan-nantikan penyokong sudah tentunya tifo gergasi yang dinaikkan Ultras dengan maskot ‘Harimau’ menghiasi suasana.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 8:42 PM