Pemain Sepanyol, Gerard Moreno meraikan jaringan pada perlawanan menentang Romania. FOTO EPA
Reuters

SEPANYOL menamatkan kempen kelayakan Euro 2020 dengan kemenangan 5-0 ke atas Romania pagi ini, serta timbul spekulasi masa depan Robert Moreno sebagai jurulatih skuad kebangsaan itu.

Laporan media heboh diperkatakan bahawa Luis Enrique kemungkinan kembali mengambil alih tugas itu.

Fabian Ruiz meletakkan Sepanyol di depan selepas lapan minit permainan ketika penyerang, Gerard Moreno meledak dua gol dan memaksa jaringan sendiri dilakukan pemain Romania, Adrian Rus sebelum waktu rehat, dengan Mikel Oyarzabal memastikan gol kelima pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Kedudukan Moreno menjadi tanda tanya sebelum sepak mula ketika beberapa laporan media menyatakan dia mungkin tidak mengambil alih pasukan itu pada Kejohanan Eropah tahun depan.

Laporan memaklumkan Luis Enrique mungkin membuat kejutan dengan kemunculan semula selepas meninggalkan tugas berkenaan pada Jun berikutan anak perempuannya Xana disahkan menghidap kanser dan meninggal dunia pada September.


Robert Moreno (kiri) memeluk jurulatih Romania, Cosmin Contra selepas berakhir perlawanan kelayakan Euro 2020 Kumpulan F di Stadium Wanda Metropolitano. FOTO EPA

Moreno pembantu paling lama Luis Enrique diberi laluan pada Jun, tidak memberikan sidang media seperti biasa selepas berakhir perlawanan kepada semua media.

Sementara pemain tidak dapat mengesahkan sama ada dia akan meneruskan tugas berkenaan.

“Pada penghujungnya kami tidak dapat melakukan apa-apa, kami hanya perlu memberi tumpuan pada latihan dan melakukan terbaik yang kami boleh. Kami sokong jurulatih dan kakitangan mereka,” kata penjaring dua gol Moreno.

Pemain tengah, Saul Niguez menambah : “Kami tidak tahu apa-apa, saya tidak boleh membuat spekulasi. Tugas Robert sudah terbukti di padang dan kami semua gembira dengannya.”

Jurulatih Romania, Cosmin Contra mengesahkan selepas perlawanan itu, dia akan meninggalkan jawatannya apabila kontraknya tamat pada Disember ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 8:41 AM