Penyerang Itali, Ciro Immobile (tengah) melakukan rembatan sambil dihalang pemain Armenia. FOTO Reuters
AFP

CIRO Immobile dan Nicolo Zaniolo masing-masing menjaringkan gol menarik ketika Itali menamatkan kempen kelayakan Euro 2020 dengan sempurna selepas kemenangan 9-1 ke atas Armenia di Palermo pagi ini.

Itali yang sudah layak mengesahkan kemenangan ke-11 berturut-turut di bawah kendalian jurulatih Roberto Mancini ketika juara dunia empat kali menunjukkan mereka kembali pada landasan sebenar selepas gagal untuk layak pada Piala Dunia tahun lalu buat pertama kali sejak 1958.

Barisan pemain kendalian Mancini memenangi semua 10 perlawanan peringkat Kumpulan J dan memastikan sebagai pasukan pilihan dalam undian Euro 2020 pada 30 November.

“Mari bergembira dengan kemenangan 10 perlawanan ini, ia tidak pernah berlaku dan ia perkara yang sangat luar biasa,” kata Mancini, 54.

“Kami mempunyai pendekatan yang betul dalam perlawanan dan kamu tidak menjaringkan sembilan gol dengan peluang yang diperoleh.

“Kami mempunyai enam bulan untuk persediaan bagi Kejohanan Eropah, kami perlu memperbaiki beberapa perkara, kemudian perkara sukar adalah untuk meninggalkan beberapa pemain di rumah, mereka semua berhak berada di sana.

“Mereka semua pemain muda yang menunjukkan peningkatan perlawanan demi perlawanan, ia hanya memerlukan masa.

“Semua pemain memberikan segalanya yang mereka ada, saya mendapat maklum balas yang saya mahukan daripada mereka.”

Immobile membuka jaringan pada minit kelapan di Sicily, dan menambah jaringan kedua pada minit ke-33.

Pemain tengah Roma, Zaniolo menjaringkan gol ipertama bersama barisan skuad kebangsaan pada minit kesembilan, diikuti gol kedua pada minit ke 64.

Nicolo Barella turut menjaringkan gol pada babak pertama. Alessio Romagnoli, jaringan penalti Jorginho minit ke 75 dan gol sumbangan Riccardo Orsolini dan Federico Chiesa melengkapkan pesta gol itu.

Edgar Babayan menjaringkan gol saguhati buat Armenia ketika 10 minit baki perlawanan untuk skuad Azzuri berdepan jadual perjalanan yang mungkin lebih sukar pada peringkat seterusnya.

Ia mungkin bukan mengenai antara jaringan terbesar antarabangsa atau kemenangan besar bagi Itali.

Mereka menewaskan Mesir 11-3 dalam perlawanan penentuan pihak gangsa di Olimpik Amsterdam pada 1928 dan mengatasi Amerika Syarikat, 9-0 di Brentford pada pusingan pertama di Olimpik 1948.

Pada 1920, Itali menewaskan Perancis, 9-4 dalam perlawanan persahabatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 7:42 AM