Penyerang Denmark, Martin Braithwaite menjaringkan gol ketika berdepan Ireland. FOTO AFP
AFP

REPUBLIK Ireland terlepas peluang layak automatik pada Euro 2020 ketika seri 1-1 berdepan Denmark di Dublin pagi ini, sekali gus mengesahkan tempat buat pelawat bagi kejohanan pusingan akhir musim panas akan datang.

Switzerland turut memastikan tempat di Euro 2020 dengan kemenangan 6-1 ke atas Gibraltar untuk mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan A.

Ireland masih mempunyai peluang beraksi di Euro di hadapan penyokong sendiri apabila Dublin menjadi salah satu dapat 12 bandar tuan rumah tetapi perlu melepasi dua kelayakan pada Mac ketika Matt Doherty menyamakan kedudukan yang dilihat sudah terlambat untuk menafikan jaringan pembukaan pemain Denmark, Martin Braithwaite.

Penjaga gol Denmark, Kasper Schmeichel meraikan kejayaan bersama peminat. FOTO Reuters

“Kami mempunyai peluang tetapi saya tidak akan mengkritik barisan pemain.” kata jurulatih Ireland, Mick McCarthy.

“Mereka menunjukkan persembahan hebat. Kami tewas satu daripada lapan perlawanan. Saya bangga dengan pemain. Kami boleh menewaskan sesiapa sahaja dalam play-off.”

Tuan rumah mengintai peluang untuk membalas dendam selepas dibelasah 1-5 yang membolehkan Denmark melangkah ke Piala Dunia 2018.

Begitupun, dalam enam pertembungan antara kedua-dua pasukan Ireland hanya menjaringkan tiga gol dalam dua tahun kebelakangan dan dilihat tampil kurang pemain berpengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 7:10 AM