GRIEZMANN diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol ketika menentang Albania di Tirana, kelmarin. - FOTO Reuters
Agensi

BINTANG Barcelona, Antoine Griezmann mengakui kelab baharunya bukan tempat yang mudah untuk bermain bola sepak ketika pemain berharga £107 juta (RM576 juta) itu masih bergelut menyesuaikan diri dengan gergasi Sepanyol itu.

Griezmann berpindah ke juara La Liga dari Atletico Madrid pada musim panas lalu tetapi masih gagal menambat hati penyokong Barcelona sejak kehadirannya.

Beberapa nama besar gagal menyerlah selepas berpindah ke Nou Camp selepas tidak mampu mendapatkan tempat dalam kesebelasan yang mengandungi superstar Lionel Messi.

Walaupun mempunyai Griezmann, Luis Suarez dan Ousmane Dembele, karisma bintang Argentina itu tetap diperlukan skuad Ernesto Valverde sekali gus membayangi kemampuan pemain baharu.

Ketika pemain Perancis itu mengakui proses transisinya tidak semudah dijangka dia tetap yakin dapat menghadiahkan kejayaan buat Barca dalam tempoh jangka panjang.

“Barcelona bukan tempat mudah untuk beraksi,” katanya kepada Telefoot. “Ia pasukan baru, kelab berbeza, taktik baru, posisi dan peranan baru buat saya tetapi saya perlu hadapinya. Sekarang masa untuk bekerja. Percayalah saya dan semuanya akan bagus.”

Pemain berusia 28 tahun itu menjaringkan empat gol dan mencipta tiga bantuan jaringan dalam 15 perlawanan musim ini tetapi menegaskan impiannya mahu menjadi pemain bernilai kepada pasukan dan bukan fokus kepada kejayaan peribadi.

“Sasaran saya untuk menjadi pemain penting kepada kelab, mempunyai lebih minit, menjaringkan banyak gol, ketepatan hantaran, layak ke Liga Juara Juara, cemerlang dalam liga dan bersedia untuk skuad kebangsaan (Perancis) pada Mac dan Euro 2020.

“Saya adalah pemain yang memikirkan pasukan. Saya boleh menjaringkan banyak gol tetapi itu bukan cita-cita saya. Cita-cita saya mahu membantu pasukan dengan apa cara sekalipun.”

Griezmann menjaringkan gol ketika menewaskan Albania 2-0 kelmarin untuk layak ke Euro 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 11:42 PM