HAZARD (kiri) meraikan jaringan bersama Lampard ketika menentang West Ham di Stamford Bridge pada 17 Mac 2013. - FOTO Reuters
Reuters

EDEN Hazard percaya bekas rakan sepasukan di Chelsea, Frank Lampard memiliki kriteria menjadi salah seorang pengurus terbaik dunia selepas memulakan kempen cemerlang di Stamford Bridge.

Hazard meninggalkan Chelsea untuk menyertai gergasi Sepanyol, Real Madrid pada permulaan musim tidak lama sebelum Lampard menggantikan Maurizio Sarri sebagai pengurus kelab di barat London itu.

Selepas permulaan sukar, Lampard mengembalikan momentum Chelsea dengan enam kemenangan berturut-turut Liga Perdana dan menyamai mata dengan kelab di tangga kedua, Leicester City sebelum rehat antarabangsa.

Ketika ditanya sama ada dia terkejut impak Lampard di Chelsea, Hazard berkata kepada wartawan: “Tidak, sama sekali tidak. Saya kenal Frank sebagai pemain, tidak sebagai pengurus tetapi dia lelaki yang hebat. Dia menunjukkan selepas empat bulan dia salah seorang pengurus terbaik di dunia.

"Yang bagusnya mereka beraksi dengan pemain muda, pemain muda Inggeris. Bagi England ia bagus, untuk Chelsea juga bagus. Mereka bertuah kerana mempunyai pemain muda yang berkualiti."

Skuad Lampard yang berdepan penggantungan dua jendela perpindahan membolehkan lebih banyak peluang beraksi kepada pemain muda Inggeris seperti Mason Mount, Fikayo Tomori, Reece James dan Tammy Abraham - penjaring terbanyak Chelsea dalam liga dengan 10 gol musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 10:47 PM