Reaksi pemain pertahanan Belanda, Virgil van Dijk ketika perlawanan kelayakan Eropah. FOTO Reuters
Reuters

PEMAIN pertahanan Virgil van Dijk berkata Belanda “kembali pada tempat sepatutnya” selepas mengesahkan layak secara automatik ke Kejohanan Eropah 2020.

Belanda yang gagal layak ke Euro 2016 atau Piala Dunia 2018, mengesahkan kemaraan ke kejohanan tahun depan berbaki satu perlawanan selepas seri 0-0 berdepan Ireland Utara, semalam.

Dengan pusingan akhir akan berlangsung di 12 venue sekitar Eropah, Belanda boleh bermain pada peringkat kumpulan di Johan Cruyff Arena dekat Amsterdam, manakala undian akan berlangsung pada 30 November.

“Saya amat gembira apabila kami kembali ke Eropah, kembali ke tempat sepatutnya kami berada,” kata Van Dijk kepada pemberita.

“Ia memberi makna yang besar buat rakyat kami. Saya dengar kami mungkin akan bermain perlawanan peringkat kumpulan di Amsterdam, ia akan menjadi sesuatu yang besar.

“Ia sesuatu yang besar kerana kami terlepas kejohanan besar, ia mencabar. .. Kami terlepas dua kali, mungkin kami sudah biasa melaluinya.”

Barisan kendalian Ronald Koeman menduduki tempat kedua dalam Kumpulan C, dua mata di belakang pendahulu Jerman - pasukan tunggal yang menewaskan mereka pada saingan kelayakan.

Van Dijk, yang akan terlepas kelayakan terakhir menentang Estonia awal pagi Rabu ini atas sebab peribadi, berkata masih ada ruang untuk pasukan itu meningkat.

“Kami tahu kami masih boleh meningkat, kami boleh lebih baik dalam beberapa aspek permainan,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 2:03 PM