SKUAD Harimau Malaya menjalani latihan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur. - FOTO Zulfadhli Zulkifli
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


KEMENANGAN 3-2 menentang Indonesia pada aksi pusingan pertama Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Gelora Bung Karno harus dilupakan apabila skuad Harimau Malaya sekali lagi turun bertemu lawan sama, Selasa ini.

Pengendali negara, Tan Cheng Hoe berkata, skuad Garuda bakal tampil berbeza di Stadium Nasional Bukit Jalil terutama selepas pemecatan ketua jurulatih Simon McMenemy yang kini diambil alih sementara penolongnya.

Malah, difahamkan beberapa pemain baharu turut dibawa ke Kuala Lumpur sekaligus skuad Indonesia bakal hadir dengan penuh rahsia tanpa mengetahui kekuatan dan kelemahan terkini pasukan itu.

"Kita tahu mereka (Indonesia) melakukan beberapa pertukaran termasuk jurulatih dan pemain baharu ke dalam skuad. Ia pasti membawa perubahan kepada pasukan itu yang sudah tentu inginkan kemenangan dengan pasukan baharu.

"Jadi kita kena tak boleh lagi memikirkan atau terlalu yakin dengan kemenangan lalu kerana sekarang semuanya sudah berbeza. Tapi seperti selalu saya pesan kepada pemain, kita kena fokus dan beri tumpuan dengan persediaan sendiri dan jangan terlalu fikirkan perkara lain kerana ia akan mengganggu tumpuan kita," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

Malaysia yang meraih kemenangan penting ke atas Thailand 2-1 pada Khamis lalu menyasarkan tiga mata penuh dalam aksi ini demi mencerahkan laluan ke pusingan ketiga kelayakan.

Selain itu, beliau juga jelas gembira dengan sokongan padu penyokong negara yang bakal membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil apabila jualan tiket dijangka habis menjelang aksi itu. Difahamkan, kapasiti stadium yang boleh memuatkan 90,000 penyokong itu sudah hampir penuh dengan sejumlah 74,308 keping tiket sudah terjual.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 10:30 PM