SOON Huat dan Shevon Lai turut mendapat pujian Choong Han.
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


AKSI positif dipamerkan pemain beregu dan campuran negara pada Terbuka Hong Kong memberi isyarat jelas mereka bersedia beraksi pada temasya Sukan SEA Filipina bermula 30 November ini.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann berkata, meskipun hanya mampu mara ke suku akhir, dua beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin berjaya mempamerkan aksi meyakinkan.

"Sebagai contohnya Ee Yi-Yew Sin mampu menewaskan gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto (pilihan kelima).

"Aaron-Wooi Yik pula menunjukkan kemahuan dan disiplin yang tinggi meskipun terpaksa menghadapi banyak kejohanan," katanya.

Choong Han juga memuji gandingan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mampu mara sehingga ke separuh akhir sekaligus menunjukkan gandingan itu mempunyai prospek yang bagus untuk meraih pingat di Sukan SEA.

"Sejak dua hingga tiga kejohanan sebelum ini, Soon Huat-Shevon sudah mempamerkan peningkatan prestasi. Mereka tahu bagaimana untuk meraih kemenangan.

"Saya berharap momentum ini dapat diteruskan sehingga Sukan SEA nanti," katanya. BAM meletakkan sasaran untuk meraih satu emas di Filipina.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 9:50 PM