MESSI sudah 18 tahun bersama Barca. - FOTO Agensi
Agensi

MASA depan superstar Argentina, Lionel Messi mencetuskan spekulasi tetapi Catalan berharap dapat mencapai perjanjian baharu dalam masa terdekat.

Menurut pengarah sukan kelab terbabit, Eric Abidal, Messi kini sedang berunding dengan Barcelona mengenai kontrak baharu.

Pemain antarabangsa Argentina itu menghabiskan 18 tahun bersama Barca tetapi masa depannya menjadi tandatanya selepas pada awal tahun dia dibenarkan meninggalkan Camp Nou secara percuma pada penghujung musim ini.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu mempunyai kontrak bersama juara La Liga sehingga 2021 tetapi Abidal berharap perjanjian baharu dapat dicapai secepat mungkin.

"Mereka sedang berunding,” katanya kepada Mundo Deportivo . "Saya tak tahu jika kami dapat berita segera tetapi keputusan bergantung kepada pemain dan kami berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.”

Ketika ditanya jangka masa persetujuan dapat dicapai, Abidal berkata: “Apabila sampai masanya, akan kami beritahu tetapi saya tetap positif.”

Sementara itu, Abidal turut mengesahkan produk akademi, Ansu Fati bakal ditawarkan kontrak lanjutan susulan persembahan memberangsangkan musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 9:30 PM