FAIZ (kanan) ketika beraksi bersama TFC pada 2018.
Malik Muhamad
sukanteam@nstp.com.my


PEMAIN tengah lincah kebangsaan, Faiz Mohd Nasir kembali perkasa skuad Terengganu FC (TFC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2020.

Kehadiran semula bekas pemain Selangor itu pasti dinantikan peminat setia TFC kerana pemain berketinggian 1.52 meter itu adalah tonggak utama pasukan terutama pada aksi final Piala Malaysia musim lalu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan media rasmi TFC sebentar tadi, pemain berusia 27 tahun itu sah bakal memperkuatkan Penyu musim depan dalam mengharungi saingan liga yang kian mencabar.

“TFC mengumumkan menandatangani kontrak setahun dengan seorang lagi pemain iaitu Faiz Nasir untuk bersama TFC musim depan sambil berharap kehadiran pemain itu mampu memperkuatkan pasukan untuk musim Liga Super 2020,” jelas kenyataan itu.

Nama pemain itu popular selepas membantu skuad Penyu mara ke pentas final musim lalu selain menjadi `permata’ bernilai di bawah kendalian bekas jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim. Bagaimanapun, konflik yang dikatakan melanda pemain itu dengan pegawai Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyebabkan Faiz membawa diri ke Selangor musim ini.

Sementara itu, ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain mengakui kehadiran semula Faiz pasti memantapkan lagi jentera tengah pasukan dalam misi memburu sekurang-kurangnya satu trofi musim depan.

“Seperti kita maklum, Faiz pernah bersama TFC sebelum ini dan pemain itu mempunyai kelebihan tersendiri, saya yakin Faiz mampu memberi impak positif dan mampu memperkuatkan pasukan,” ujar Nafuzi.

Minggu lalu, TFC mengumumkan sudah mengikat bekas arkitek perak, Nasir Basharuddin dan bekas bek kiri FELDA United, Arif Fadzillah Abu Bakar.

Kehadiran Faiz dan Nasir bakal memantapkan lagi jentera tengah pasukan bergandingan dengan pemain kacukan England-Malaysia, Lee Tuck dan pemain terbaik Uzbekistan musim ini, Sanjar Shaakmedov.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 6:23 PM