PASUKAN TSG gagal menaiki podium pada peringkat pertama Tour of Fuzhou hari ini.
Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

JUARA Jelajah Asia 2018/2019, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) bermula hambar di Tour of Fuzhou apabila gagal menaiki podium dan menyarung jersi pada peringkat pertama yang berakhir hari ini.

Peringkat pertama perlumbaan berstatus 2.1 bermula dari Ma Wei ke Ku Liang sejauh 107.4 kilometer sememangnya dilihat sukar kerana ia berakhir dengan pendakian kategori satu menuju garisan penamat.

Pelumba terbaik TSG adalah Artem Ovechkin dari Russia yang meraih kedudukan keenam, ketinggalan kira-kira seminat berbanding pemenang tempat pertama, Ilya Davidenok dari Shenzhen Xidesheng Cycling Team yang mencatatkan dua jam 35 minit 42 saat sekali gus menyarung tiga jersi utama.

Pencapaian terbaik pelumba Malaysia menerusi Muhsin Al Redha Misbah yang mewakili skuad negara, berada di kedudukan ke-26 diikuti Muhamad Zawawi Azman di kedudukan ke-35.

Ia antara persiapan skuad negara kendalian Mohd Yusof Abdul Nasir untuk menghadapi Sukan SEA Filipina dengan turut membariskan Nik Mohamad Azwan Zulkifli, Sofian Nabil Mohd Bakri, Akmal Hakim Zakaria dan Muhammad Ameer Ahmad Kamal.

Perlumbaan disertai 22 pasukan membabitkan tujuh peringkat dengan pelumba akan meneruskan saingan peringkat kedua esok sejauh 118km yang bermula dan berakhir di Langqi Hongguang Lake Park.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 6:08 PM