Harrison Dillard meninggal dunia pada usia 96 tahun akibat kanser perut. FOTO File Agensi
AFP

BINTANG balapan tahun 1940-an Amerika Syarikat (AS), Harrison Dillard yang mencatat rekod sebagai pemenang pingat Emas Olimpik meninggal dunia semalam pada usia 96 tahun umum Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik AS, hari ini.

Dillard yang menjalani rawatan di Klinik Cleveland, AS, selepas disahkan mengidap kanser perut, memenangi 100 meter (m) di Sukan Olimpik London pada 1948 mengatasi rakan senegara, Barney Ewell dalam pemenang di garisan penamat pertama yang ditentukan menerusi gambar dalam sejarah Olimpik.

Dillard juga memenangi pingat emas acara lari berpagar 110m di Olimpik Helsinki pada 1952 dan sebahagian daripada pelari kuarter 4x100m AS memenangi emas di Olimpik 1948 dan 1952.


Dillard (kiri sekali) ketika memenangi acara larian 100 meter di Sukan Olimpik London pada 1948. FOTO File Agensi

Dia kekal sebagai pelari lelaki dalam sejarah Olimpik yang merangkul pingat emas dalam acara 100m dan 110m lari berpagar.

“Kami sangat bersedih apabila mendapati kematian Harrison Dillard selepas berjuang dengan penyakit kanser,” menurut kenyataan jurucakap Padang dan Balapan AS.

“Legasinya sebagai pemenang pingat emas dalam acara 100m dan 110m lari berpagar kekal antara pencapaian atlet yang hebat.

“Arena sukan kita kehilangan seorang yang istimewa dan kami tumpang simpati kepada keluarga dan rakan-rakannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 1:13 PM