Neil Harris pengurus baharu Cardiff. FOTO Agensi
Agensi

CARDIFF City melantik bekas bos Millwall, Neil Harris sebagai pengurus baharu kelab itu dalam kontrak perjanjian selama dua setengah tahun berikutan peninggalan Neil Warnock.

Harris mengambil alih Bluebirds yang berada di kedudukan ke-14 dalam Liga Kejuaraan selepas hanya menang satu daripada enam perlawanan lalu ia sekali gus keputusan yang mempengaruhi pemergian Warnock selepas persetujuan bersama dicapai.

Sepanjang empat tahun membimbing Millwall, Harris membantu kelab itu layak beraksi di Liga Kejuaraan daripada Liga Satu menerusi play off pada musim 2016-17, namun dia meletak jawatan pada 3 Oktober susulan deretan tujuh aksi tanpa kemenangan.

Cardiff dalam satu kenyataan semalam berkata : "Cardiff City FC mengesahkan pelantikan Neil Harris sebagai Pengurus Pasukan Utama Kelab itu.

"Pengendali berusia 42 tahun itu sudah menandatangani perjanjian di Stadium Cardiff City sehingga musim panas 2022.

"David Livermore menyertai Neil sebagai Pembantu Pengurus manakala James Rowberry dan Andy Dibble meneruskan tugas mereka membantu jurulatih dan jurulatih penjaga gol kini.

"Kevin Blackwell dan Ronnie Jepson meninggalkan kelab itu malah kelab sangat berterima kasih serta mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada mereka.

"Neil akan menyertai sesi latihan di Vale Resort esok sebagai persediaan menjelang perlawanan pertama pengendali Cardiff itu di Charlton Athletic pada 23 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 10:56 AM