Xherdan Shaqiri. FOTO Agensi
Agensi

XHERDAN Shaqiri didakwa memberi tahu kepada rakan rapatnya mengenai hasrat meninggalkan Liverpool pada musim panas ini menurut satu laporan media di London.

Bintang Switzerland hampir dilupakan sepanjang musim ini apabila diketepikan selepas bergelut dengan prestasi selain mengalami kecederaan otot ketika latihan.

Begitupun dia semakin hampir membuat penampilan semula dengan tahap kecergasan tinggi untuk memberikan Jurgen Klopp satu lagi pilihan di barisan serangan ketika The Reds mengharungi jadual perlawanan yang padat.

Menurut Football Insider, Shaqiri tidak gembira di Anfield dan memberitahu rakan rapat dia mahu meninggalkan kelab itu pada musim panas ini.

Dia sedar peluangnya tipis untuk menjadi pemain kesebelasan utama mengatasi Mohamed Salah dan Sadio Mane selain mahukan cabaran baru.

Shaqiri hanya beraksi dua perlawanan dalam Liga Perdana musim ini tetapi kemungkinan kembali dalam pasukan untuk kunjungan ke Crystal Palace pada 23 November ini.

Dalam satu temubual baru-baru ini, bersama Schweizer Illustrierte, Shaqiri tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan kurang peluang minit permainan.

"Sudah tentu saya tidak berpuas hati kerana saya tidak kerap bermain." katanya.

"Jika ia bukan maklum balas daripada seseorang yang profesional, dia berada dalam pekerjaan yang salah. Dia (Klopp) tidak boleh membincangkan secara peribadi setiap fungsi pemain, ia adalah perkara biasa.

“Kami mempunyai skuad berbakat besar dan ramai yang terpaksa menunggu peluang mereka.

“Saya tidak pernah berdepan masalah dengan jurulatih. Dia tahu bahawa saya sudah bersedia.

"Disebalik kesungguhan untuk beraksi, Shaqiri memberi tahu pingat kemenangan Liga Juara-Juara musim lalu adalah alasan mengapa dia tidak pernah berasa sedikit kesal untuk berpindah ke Merseyside.

"Saya tidak pernah sesekali menyesal untuk berpindah ke Liverpool," tambahnya.

“Ramai yang menulis kepada saya di Stoke, tetapi siapa boleh menyangka untuk bertukar serta merta daripada pasukan penyingkiran kepada pemenang Liga Juara-Juara?

“Saya berada dalam kesebelasan utama dalam aksi timbal balik perlawanan Liga Juara-Juara peringkat separuh akhir berdepan Barcelona, yang menjadi sejarah buat Liverpool.

“Dan kerana dua gol saya untuk menewaskan musuh sepanjang zaman Manchester United, mereka masih kerap memberi gelaran legenda kepada saya.

“Biarpun asasnya saya suka lebih banyak bermain perlawanan, saya gembira di Liverpool. Saya mempunyai status tersendiri dalam pasukan kerana saya salah seorang daripada pemain yang berpengalaman. Saya fikir saya antara yang mendahului.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 10:19 AM