David Alaba meraikan jaringannya ketika berdepan Macedonia. FOTO EPA
Reuters

JARINGAN awal David Alaba dan ledakan Stefan Lainer pada separuh masa kedua permainan memastikan Austria layak ke Kejohanan Eropah tahun depan dengan kemenangan 2-1 mengatasi Macedonia Utara, awal pagi ini.

Ia kali kedua berturut-turut Austria layak selain penampilan ketiga pada pusingan akhir selepas turut menjadi tuan rumah bersama pada 2008.

Kemenangan itu meletakkan Austria di tempat kedua Kumpulan G di belakang Poland yang sudah layak dan turut menang di Israel, manakala Macedonia Utara berharap akan melepasi play off untuk turut berpeluang ke pusingan akhir.

Austria bermula dengan sempurna apabila Alaba mendapatkan bola sebelum mengatasi penjaga gol, Stole Dimitrievski dan meledak selepas tujuh minit.

Pemain Austria meraih kejayaan mara ke Kejohanan Eropah. FOTO Reuters

Selepas rehat, penjaga gol pelawat itu menyelamatkan sepakan jarak dekat Valentino Lazaro tetapi bola yang muntah disambar Lainer untuk menggandakan kelebihan pada minit ke-48.

Kira-kira 41,100 penyokong Austria sudah meraikan kejayaan mereka lebih awal tanpa menghiraukan jaringan Vlatko Stojanovski pada penghujung saingan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 10:07 AM