Penyerang Belgium, Eden Hazard (kanan) diasak pemain Russia. FOTO AFP
Reuters

BELGIUM memastikan tempat di kedudukan teratas Kumpulan I kelayakan Euro 2020 dan melebarkan rekod sembilan kemenangan selepas dua gol daripada Eden Hazard dan satu sumbangan adiknya Thorgan yang memberi inspirasi mengatasi Russia 4-1, awal pagi ini.

Dengan berbaki satu perlawanan, Belgium memungut 27 mata maksima dan tempat kedua Russia 21, kedua-duanya sudah menempah tempat di kejohanan membabitkan 24 negara tahun depan.

Walaupun mereka beraksi demi kebanggaan, perlawanan pantas mencuri tumpuan sejak mula dan Thorgan Hazard memastikan pelawat di depan menerusi jaringan menarik pada minit ke-19 selepas mengatasi pertahanan lawan dan melakukan rembatan di sudut penjuru atas jaring gol.

Eden Hazard menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-33 dengan satu usaha yang baik, melakukan rembatan voli melepasi jangkaan penjaga gol Russia kelahiran Brazil, Guilherme selepas tandukan penyerang, Romelu Lukaku membolehkan kapten pasukan itu menjaringkan gol.

Aksi bertenaga penyerang itu menggandakan jaringan sejurus sebelum waktu rehat menerusi gerakan menarik, dengan perancang tengah Kevin De Bruyne bertindak membuka ruang kepada Hazard untuk merembat masuk gol di gawang terbuka dari jarak 12 meter.

Hanya penyudah tumpul daripada Lukaku dan dua percubaan menarik yang diselamatkan Guilherme menafikan jaringan lebih besar buat Belgium pada awal permainan ketika Russia gagal mencipta peluang di hadapan penyokong sendiri.

Belgium tanpa belas ihsan menambah jaringan lagi pada minit ke 72 ketika Lukaku menebus kembali peluang menjaringkan gol pada awal permainan apabila melakukan rembatan pada jarak 16 meter untuk melepasi jangkaan Guilherme.

Georgi Dzhikiya akhirnya memberi penyokong tuan

rumah sedikit kegembiraan apabila merembat dari jarak dekat bola yang terpantul ke arahnya pada minit ke 79 namun ia sudah terlambat untuk mengatasi kekalahan kepada pasukan finalis separuh akhir Piala Dunia tahun lalu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 9:42 AM