Pemain Ireland, Steven Davis hampa selepas gagal menyempurnakan penalti ketika berdepan Belanda. FOTO Reuters
AFP

BELANDA mengesahkan tempat ke Euro 2020 selepas mereka terselamat daripada penalti Steven Davis ketika seri 0-0 berdepan Ireland Utara, awal pagi ini.

Skuad kendalian Ronald Koeman tiba di Windsor Park menyedari satu mata sudah mencukupi untuk memastikan mereka layak bagi Kumpulan C.

Mereka mencapai sasaran itu dibantu nasib yang baik apabila kapten Ireland Utara, Davis menyepak penalti tinggi melepasi palang pada babak pertama.

Belanda gagal layak pada Euro 2016 dan Piala Dunia 2018 jadi ini adalah saat yang indah buat negara memiliki warisan bola sepak kaya itu.

Mereka menduduki tempat ketua kumpulan, dua mata di belakang pendahulu Jerman berbaki satu perlawanan.

Kapten Belanda, Virgil van Dijk mengakui saat paling penting ialah penalti gagal disempurnakan Davis.

“Ia perlawanan sukar. Dia tidak bernasib baik, bagus untuk kami! Pemain amat gembira dalam bilik persalinan. Kami kembali ke kejohanan utama,” katanya.

Keputusan itu sekurang-kurangnya satu langkah pada landasan betul buat pasukan muda berbakat yang tewas kepada Portugal pada final Liga Negara-Negara pada Jun lalu.

“Ia sangat bermakna kepada kami sebagai pemain. Diharapkan ia memberi cukup makna kepada rakyat Belanda,” tambah Van Dijk pemain pertahanan Liverpool itu.

“Kami harus memastikan kami bersedia sepenuhnya untuk kejohanan besar. Kami terlepas dua kejohanan lalu. Kami mahu beraksi baik.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 8:55 AM