SUBAHAN KAMAL
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


PRESIDEN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Subahan Kamal menafikan wujud situasi tegang di dalam badan induk itu yang didakwa bakal menjejaskan perjalanan kepemimpinan baharu.

Subahan yang dipilih mengemudi MHC untuk penggal kedua selepas menang tanpa bertanding pada mesyuarat agung tahunan (AGM) semalam berkata, beliau serta barisan kepemimpinan baharu tidak akan mengetepikan ahli gabungan yang mungkin dilihat tidak selari dengan badan induk itu.

“Bila anda lihat pada hari ini (semalam), lebih 90 peratus ahli gabungan seperti sebuah keluarga. Tak ada situasi tegang pun. Hanya mungkin satu, dua (tidak sehaluan). Tapi satu, dua itu pun ada yang berbelah bahagi.

“Jadi bagi saya tak ada masalah. Kami akan tetap menjalinkan hubungan dengan setiap persatuan negeri termasuk yang tidak puas hati dan sebagainya,” katanya pada sidang media, semalam.

Turut mempertahankan jawatan ialah Timbalan Presiden (wanita), Datuk Dr S Shamala manakala Jadadish Chandra tampil sebagai Timbalan Presiden (lelaki) yang baharu selepas kedua-duanya menang tanpa bertanding.

Persaingan sengit dapat disaksikan bagi perebutan jawatan Naib Presiden dengan lima kerusi bagi lelaki dimenangi Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak, Hasnizam Hassan, Ranjit Singh dan Shurizan Mansor.

Manakala Rogayah Mohamad dan Datin Mary Sadiah Zainuddin melengkapkan kerusi Naib Presiden (wanita).

Edisi AGM ke-66 MHC dianggap tegang apabila timbul beberapa isu terutamanya membabitkan calon yang bertanding.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 6:00 AM