BERG (kiri) menanduk masuk gol pembukaan menentang Romania di Bucharest, awal pagi tadi. — FOTO EPA
Reuters

SWEDEN memastikan tiket ke Euro 2020 selepas gol sumbangan Marcus Berg dan Robin Quaison menyaksikan mereka menang 2-0 ke atas Romania di gelanggang lawan, awal pagi tadi.

Keputusan itu membantu Sweden muncul naib juara Kumpulan F dengan 18 mata. Sepanyol, yang mengesahkan tempat ke pusingan akhir bulan lalu, mengungguli carta dengan 23 mata daripada sembilan perlawanan selepas membelasah Malta 7-0. Romania di tangga ketiga dengan 14 mata.

Jurulatih Sweden, Janne Andersson teruja hingga menangis dengan persembahan anak buahnya dan berkata: “Ini terlalu fantastik, ia bagaikan mustahil. Saya teramat gembira dan bangga kerana mempunyai pemain sebegini.

“Saya menitiskan air mata ketika berbaki dua minit. Hakikat kami akan ke Euro satu perkara, pemain yang melaksanakannya bersama amat fantastik, sukar dipercayai.”


QUAISON (dua kiri) dihalang pemain Romania, Nicuso Bancu (tengah) dan Florinel Coman (dua kanan). — FOTO EPA

Penyerang Berg, yang turut bercakap kepada TV4 Sweden berkata: “Kami terlalu tertekan hari ini, tidak ramai meramalkan kami boleh mengalahkan mereka 2-0 di sini... saya benar-benar terkedu, mungkin mengambil masa sedikit untuk menerimanya.”

Berg meletakkan Sweden di depan pada minit ke-18 dengan tandukan padu melepasi penjaga gol Ciprian Tatarusanu susulan hantaran silang Emil Forsberg. Ia gol ke-21 buatnya pada peringkat anarabangsa.

Pemain tengah Quaison memastikan tiga mata menerusi penyudah tenang 16 minit kemudian dengan Berg menjadi pengumpan.

Perlawanan itu ditangguh beberapa minit pada lewat babak kedua oleh pengadil selepas mendengar ejekan perkauman dari kalangan penonton dan sesudah pengumuman dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 7:46 AM