Faroul (kiri) beramah mesra bersama peserta dari Australia pada Perasmian RMSIR di Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
Khairul Azran Hussin
am@hmetro.com.my


SEBANYAK 72 pasukan dari 34 negara berentap dalam kejohanan Regatta Antarabangsa Raja Muda Selangor (RMSIR) kali ke-30, bermula hari ini.

Perlumbaan selama sembilan hari itu bermula dari Pelabuhan Klang menuju ke Pulau Pangkor, Perak sebelum ke Pulau Pinang dan dijadual menamatkan saingan di Pulau Langkawi.

Lebih menarik, perlumbaan tahun ini turut disertai Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berkenan berangkat menyertai kejohanan itu menggunakan kapal layar 'Fujin'.

Pengurus Acara dan Pelancongan Fokus Selangor, M Faroul Mustaffa berkata, tahun ini adalah kali kedua Tengku Amir Shah menyertai RMSIR, sekali gus menjadikan kejohanan tahun ini lebih menarik.

"Ini adalah kali kedua Tuanku menyertai kejohanan ini. Pada tahun lepas Tuanku hanya menyertai perlumbaan di Pulau Pinang.

"Namun, pada tahun ini Tuanku akan bermula dari Pelabuhan Klang dan akan belayar melalui semua 'check point'," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian RMSIR di Pelabuhan Klang, hari ini.

RMSIR yang mula dianjurkan pada 1990 adalah kejohanan kapal layar kedua tertua di Asia dan yang paling sukar di Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 12:28 AM