Zlatan Ibrahimovic. FOTO File Agensi
Agensi

ZLATAN Ibrahimovic mahu mengembangkan karier di Itali menurut ketua jurulatih LA Galaxy, Guillermo Barros Schelotto.

Ibrahimovic mengesahkan semalam bahawa dia tidak akan memperbaharui kontrak bersama pasukan beraksi di liga MLS, Galaxy selepas pemain berusia 38 tahun itu tiba dari Manchester United pada 2018.

Bekas penyerang Paris Saint-Germain dikaitkan rapat untuk kembali beraksi di Eropah, dengan komisioner MLS, Don Garber minggu lalu mencadangkan bekas kelab AC Milan antara yang berminat menandatangani semula pemain yang tidak lama lagi menjadi pemain bebas.

Napoli, Bologna dan Roma juga mungkin menjadi pilihan kepada bekas pemain kebangsaan Sweden apabila kembali ke Serie A, sementara pasukan Liga A, Perth Glory sudah mengesahkan minat mereka untuk membawa Ibrahimovic ke Australia dengan perjanjian khas.

Ditanya mengenai masa depan Ibrahimovic, bos Galaxy, Schelotto memberitahu Radio Kiss Kiss : “Dia tidak tahu apa yang harus dilakukan sekarang.

“Dia pemain yang hebat, tetapi saya tidak tahu apa tindakan seterusnya nanti - mungkin dia akan menamatkan karier di Naples atau bersama Milan.

“Saya tidak tahu ke mana dia akan pergi tetapi dia berhak dan mahu menamatkan karier di Itali.”

Ibrahimovic menghabiskan dua musim bersama Milan - memenangi Serie A dan Supercoppa Itali - sebelum menyertai gergasi Perancis, PSG pada 2012, di mana dia bekerja di bawah bimbingan Carlo Ancelotti yang kini melatih Napoli.

“Mereka sangat mengenali antara satu sama lain,” kata Schelotto. “Zlatan jelas mempunyai karakter yang diperlukan Napoli.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 12:11 AM