Safawi Rasid merangkul Pemain Paling Bernilai (MVP) sempena Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 19 di Hotel Tenera, Bangi. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid menepati ramalan selepas merangkul trofi Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) ke-19 di Hotel Tenera, Bangi, malam ini.

Kejayaan itu turut menyaksikan pemain berusia 22 tahun berkenaan mempertahankan gelaran, sekali gus muncul pemain termuda yang pernah diangkat sebagai MVP.

Pemain kelahiran Terengganu yang turut dinobatkan sebagai Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular itu sedang berada di kemuncak karier selepas membantu skuad kendalian Benjamin Mora memenangi Piala Sumbangsih, Piala Malaysia dan mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali keenam berturut-turut.

Skuad Harimau Selatan mendominasi sebahagian besar anugerah ABK 19 dengan Akhyar Abdul Rasid diangkat sebagai Pemain Muda Harapan manakala anugerah Pemain Import Terbaik menjadi milik Diogo Luis Santo.

Farizal Marlias pula dinobatkan selaku Penjaga Gol Terbaik sambil kapten JDT, Harris Harun dipilih menjadi Pemain ASEAN Terbaik.

Pemain naturalisasi pertama negara yang kini mewakili Pahang, Mohamadou Sumareh dipilih Pemain Tengah Terbaik manakala pengendali skuad Tok Gajah, Dollah Salleh merangkul anugerah Jurulatih Terbaik.

Sementara itu, pemain Perak, Shahrul Saad dinobatkan sebagai Pertahanan Terbaik sekali gus mempertahankan anugerah yang dimenanginya tahun lalu.

Pemilihan calon kali ini dibuat menerusi Jawatankuasa Saringan ABK 19 sebelum pemenang ditentukan oleh 23 jurulatih, 23 kapten dan 23 wakil media tempatan.

Manakala bagi pemenang kategori utama MVP pula ditentukan menerusi undian lima anggota jawatankuasa yang dilantik khas.

Senarai pemenang ABK 2019

Pemain Paling Bernilai: Safawi Rasid (JDT)

Penyerang Terbaik: Safawi Rasid (JDT)

Pemain Tengah Terbaik: Mohamadou Sumareh (Pahang)

Pertahanan Terbaik: Shahrul Saad (Perak)

Penjaga Gol Terbaik: Farizal Marlias (JDT)

Jurulatih Terbaik: Dollah Salleh (Pahang)

Pemain Muda Harapan: Akhyar Abdul Rashid (JDT)

Pemain ASEAN Terbaik: Hariss Harun (JDT)

Pemain Import Terbaik: Diogo Luis Santo (JDT)

Kasut Emas: Fernando Rodriguez (Kedah)

Pemain Paling Popular: Safawi Rasid (JDT)

Pasukan Terbaik: JDT

Penyokong Terbaik: JDT

Pemain Terbaik AFL Liga M3: Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi (Kelantan United FC)

Pasukan Terbaik AFL Liga M3: Armed Forces FC

Anugerah Mesra Media: B. Sathianathan (Selangor)

Anugerah Fair Play: Terengganu FC II

Media Sosial Terbaik: JDT

Laman Web Terbaik: johorsoutherntigers.com.my

Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Super): Safawi Rasid (8) JDT

Penjaring Terbanyak (Liga Super): Kpah Sherman (14) PKNS FC

Penjaring Terbanyak Tempatan (Liga Perdana): Bobby Gonzales (9) Sarawak

Penjaring Terbanyak (Liga Perdana): Zarko Korac (13) UiTM FC

Anugerah Pengadil Berpotensi: Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah

Anugerah Komuniti: The Ohana Project

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 11:05 PM