Jadadish Chandra sedia beri kerjasama. FOTO NSTP
Saiful Affendy Sapran
saifulaffendy@hmetro.com.my


KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) bersikap terbuka dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung beberapa dakwaan termasuk rasuah menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu, esok.

Pengerusi Jawatankuasa Perundangan MHC, Jadadish Chandra berkata, semua pihak termasuk Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin mempunyai hak untuk membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya baru membaca laporan polis itu serta saya juga percaya ada laporan diserahkan kepada SPRM. Beliau mempunyai hak untuk berbuat demikian.

"Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan sama ada laporannya itu tepat atau sebaliknya. Saya tidak mahu membuat spekulasi berhubung perkara ini," katanya pada sidang media hari ini.

Megat menerusi sidang media lebih awal berkata, beliau sudah membuat satu laporan polis dan turut melaporkan kepada SPRM berhubung beberapa isu menjelang pemilihan itu sebelum ini.

Beliau turut mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden sekali gus menyaksikan Jadadish menang tanpa bertanding kerusi itu.

Mengulas kemenangannya itu, Jadadish berkata beliau pada awalnya sememangnya mengharapkan adanya pertandingan satu lawan satu antaranya dengan Megat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 9:10 PM